Wednesday 9 August 2017

Visi & Misi

VISI

- Sekolah Bebas Dadah,

Negara Bebas Dadah 2017

MISI

- Melahirkan murid bebas dadah melalui Program PPDa yang bersepadu dan menyeluruh dari aspek pengurusan dan kepimpinan, kurikulum, kokurikulum dan pembangunan sahsiah.

Pengenalan

SKIM LENCANA ANTI DADAH

Apakah itu SLAD?

Skim Lencana Anti Dadah(SLAD) adalah satu usaha terancang untuk melibatkan ahli-ahli persatuan berpakaian seragam sekolah menengah dalam aktiviti pendidikan pencegahan dadah di sekolah dan akhirnya di masyarakat luar.

Bagaimana SLAD ini dilaksanakan ?
Aktiviti SLAD ini adalah sebahagian daripada aktiviti berpersatuan berpakaian seragam sekolah yang disertainya.Di samping menjalankan akiviti persatuan yang telah ditetapkan, pemimpin/penasihat persatuan berkenaan hendaklah memasukkan aktiviti anti dadah dalam aktiviti persatuan.Ahli-ahli persatuan menyertai Skim secara berterusan akan dianugerahkan Lencana Anti Dadah selepas diadakan penilaian.

Berapa lama menyertai SLAD sebelum dianugerahkan lencana ?
Ahli-ahli persatuan berpakaian seragam yang menyertai SLAD dikehendaki menyertai secara berterusan dalam tempoh minimum satu dan maksimum dua tahun baharulah dianugerahkan lencana.

Apakah ertinya penyertaan anda di dalam SLAD ini ?
Dengan menyertai SLAD ini, anda telah memberikan sumbangan dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah di sekolah anda.Sekurang-kurangnya anda tahu akan bahaya dadah dan bagaimana anda dan rakan-rakan boleh menjauhkan diri dari penyalahgunaan dadah.

KONSEP SKIM LENCANA ANTI DADAH

Skim Lencana ini adalah merupakan satu langkah jangka panjang untuk memupuk semangat dan sikap bencikan dadah di kalangan pelajar sekolah.Skim ini adalah merupakan satu usaha pendidikan pencegahan awal untuk mencegah penularan masalah dadah di kalangan pelajar-pelajar.Walaupun ada pelajar sekolah yang terlibat dalam perbuatan menyalahgunakan dadah,tetapi penglibatan mereka masih dapat dikawal dan kebanyakannya hanya pada peringkat mencuba-cuba (experimenting) dadah sahaja.Oleh itu program ini adalah satu program yang cuba menyekat dan akhirnya menghapuskan perbuatan menyalahgunakan dadah di kalangan pelajar.Segala penerangan yang diberikan kepada peserta skim ini adalah untuk menerangkan secara menyeluruh ancaman dan bahaya penggunaan dadah untuk mewujudkan persefahaman yang tinggi di kalangan pelajar sekolah terhadap masalah dadah di Malaysia.

Skim ini adalah menggunakan pengaruh teman sebaya (peer group influence) untuk menyampaikan mesej anti dadah dan melibatkan murid-murid yang menganggotai Pasukan Pakaian Seragam di sekolah masing-masing.Pengetahuan yang menerusi penyertaan dalam skim ini akan membolehkan mereka untuk memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mencegah penggunaan dadah di kalangan rakan-rakan sekolah,teman-teman sebaya,keluarga,sahabat-handai dan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan mereka.Penuntut yang menyertai skim ini akan dapat berinteraksi secara berkesan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah,misalnya dapat memujuk atau menyakinkan pelajar yang bermasalah itu berjumpa dengan guru bimbingan atau sesiapa sahaja yang difikirkan dapat membantu menyelesaikan masalah pelajar berkenaan.

Selain daripada itu,anggota pasukan seragam yang telah menerima Lencana Sijil Anti Dadah ini akan boleh terus berkhidmat kepada masyarakat selepas tamat persekolahan/pengajian dalam bidang anti dadah; umpamanya sebagai ahli panel penceramah, para kaunselor (setelah mendapat latihan dan bimbingan yang sesuai dalam bidang ini) dalam program seliaan lanjutan bekas penagih,atau sebagai sukarelawan dalam aspek tindakan anti dadah yang lain.

Aktiviti dalam program Skim Lencana Anti Dadah ini adalah merupakan satu daripada pelbagai aktiviti pasukan pakaian seragam berkenaan.Pasukan Pakaian Seragam boleh mengambil beberapa hari daripada hari-hari aktiviti mereka untuk menjalankan aktiviti Pasukan Pakaian Seragam itu sendiri.Untuk menimbulkan rasa penglibatan bersungguh-sungguh komited dalam Program Skim Lencana itu,anggota-anggota Pasukan Pakaian Seragam yang menyertai Skim Lencana ini di kehendaki lulus ujian-ujian dan melakukan kerja-kerja praktikal,barulah dianugerahkan Lencana Anti Dadah.Lencana Anti Dadah ini adalah merupakan penghargaan kepada penglibatan pelajar-pelajar itu dalam aktiviti anti dadah.Mereka bolehlah memakai lencana itu sebagai satu daripada lencana-lencana kemahiran.